Isnin, 5 Julai 2010

Dua pusat rawatan sudah lumpuh, 17 berdepan risiko sama


KOTA BHARU: Dua loji rawatan air (LRA) milik syarikat utiliti, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di negeri ini sudah lumpuh, manakala 17 lagi berdepan risiko sama jika kemarau yang melanda negeri ini sejak Februari lalu berterusan sehingga menyebabkan sungai yang menjadi sumber bekalannya, semakin cetek.

Dua loji AKSB iaitu Kelar di Pasir Mas dan Tualang di Kuala Krai, terjejas operasi masing-masing, berikutan paras air Sungai Kelantan di muka sauk loji itu cetek di bawah paras ia beroperasi.
Ketika ini, 17 loji lagi mampu bertahan kerana keupayaannya beroperasi menyedut air untuk diproses ketika laut pasang, walaupun kemudiannya terpaksa berhenti seketika apabila paras sungai kembali surut.

Walaupun 17 LRA itu masih mampu beroperasi pada tahap 100 peratus pengeluaran, tetapi AKSB kini mengharapkan kerjasama semua pelanggannya berjimat dalam penggunaan air harian keluarga masing-masing.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan, berkata operasi pengeluaran semua LRA yang bersumberkan sungai, kini bergantung kepada turun naik paras air yang berubah dari semasa ke semasa.

“Walaupun tiada hujan dalam tempoh terdekat ini, tetapi paras air Sungai Kelantan sentiasa berlaku pasang surut pada masa-masa tertentu, kerana tahap kecetekan air sebelum ini sehingga 40 peratus kini sudah pulih.
“Bagaimanapun, AKSB menasihatkan 182,419 pengguna di negeri ini dapat menjimatkan penggunaan bekalan air harian dengan hanya mengutamakan keperluan asas saja seperti minum, mandi dan membasuh, selain mengelak mencuci kereta atau menyiram pokok,” katanya.

Hazwan berkata, AKSB juga berusaha mengelak gangguan bekalan air walaupun dalam keadaan yang kritikal akibat kemarau dengan melakukan catuan bekalan menggunakan lori ke kawasan yang bermasalah.

Mengulas kebimbangan kenaikan mendadak bil air walaupun masa sama pengguna tidak menerima bekalan air, beliau berkata, pengguna yang berdepan masalah itu diminta tampil membuat laporan di mana-mana pejabat AKSB berdekatan untuk penyelesaian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Wan Mohd Sulaiman Wan Ismail ketika dihubungi, mengakui paras air Sungai Kelantan kini semakin cetek berbanding musim kemarau yang pernah dialami sebelum ini.

“Berdasarkan keadaan semasa, jika tiada hujan dalam tempoh beberapa hari ini, mungkin paras sungai akan cetek ke tahap kritikal.

“Saya berharap semua pengguna tidak panik dengan keadaan itu, sebaliknya bersabar dan berdoa semoga hujan turun dalam tempoh terdekat ini demi kebaikan semua,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan