TUMPAT: Nasib seorang remaja berusia 13 tahun boleh diibaratkan seperti anak terbuang apabila terpaksa hidup dalam kemiskinan dan berpindah-randah untuk menagih kasih sayang selepas ibu bapanya bercerai sejak sembilan tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, Mohd Aimron Abdul Rahman juga terpaksa menanggung malu apabila bapa berusia 30-an yang diharapkan untuk membelanya rupa-rupanya seorang kaki pecah rumah dan ibunya pula melarikan diri.
Nasib malang itu turut dirasai abangnya, Shahrul Izam, 15 , yang kini sudah membawa diri bersama seorang adik tiri perempuan berusia lapan tahun.
Lebih menyedihkan, dia terpaksa melupakan hasrat menyambung pelajaran di peringkat menengah apabila terpaksa mengambil upah mengutip getah akibat kemiskinan hidup. Menurutnya, selepas ibu bapa bercerai, dia terpaksa tinggal bersama bapa di Kuala Krai manakala abangnya pula dijaga ibunya yang menetap di Pasir Mas.
Dia ketika ditemui Harian Metro berkata, kehidupan bersama bapa lebih merunsingkan dan terumbang-ambing berikutan kegiatan liciknya yang kerap melakukan jenayah mencuri dan pecah rumah sehingga dihalau penduduk kampungnya di Kuala Krai awal April lalu.
“Selepas ayah dihalau penduduk kampung, saya tidak berani tinggal bersendirian dan mencari ibu dan abang di Pasir Mas.
“Berbekal duit RM1 saya menumpang kereta api kerana tidak mempunyai tiket. Hasil susah payah dan merempat, saya bernasib baik kerana dapat mencari mereka,” katanya.
Dia berkata, selepas hampir dua minggu tinggal bersama ibu dan abangnya serta seorang adik tiri hasil perkahwinan ibu dengan lelaki lain berlaku pula perkara lain.
“Ibu meninggalkan kami tiga beradik bersama suaminya dengan berpesan kepada abang supaya jaga diri kerana tidak akan pulang lagi ke rumah menjenguk kami dan meninggalkan sedikit beras untuk kami,” katanya.
Menurut Mohd Aimron, mereka tiga beradik putus asa dengan keadaan itu dan membuat keputusan membawa diri masing-masing.
Katanya, dia tidak tahu ke mana adik tiri serta abangnya kini berada dan dia membawa diri menaiki kereta api ke Johor Bahru, Johor untuk mencari pekerjaan.
“Setibanya di sana, saya bimbang kerana tiada tiket kereta api. Saya bernasib baik kerana ada seorang lelaki sanggup membelikan tiket ke Wakaf Bharu apabila melihat saya dihalau dari kereta api.
“Dia juga membantu saya mendapatkan kerja di kedai membaiki motosikal milik wanita Cina dengan upah RM5 sehari,” katanya.
Katanya, majikannya itu memberi kemudahan tempat tinggal sementara sebelum menghantarnya ke rumah pasangan suami isteri yang bekerja sebagai peniaga.
Sementara itu, Ketua Penyelia Pembangunan Mukim Wakaf Bharu, Rosli Ab Ghani berkata dia amat sedih dengan kehidupan yang terpaksa dilalui remaja itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan